Setiausaha Agung PN baharu 9 Dis.

SHAH ALAM 29 Nov. – Perikatan Nasional (PN) dijangka membuat keputusan berhubung pelantikan Setiausaha Agung baharu pada mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 9 Disember ini.

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin berkata, mengikut perlembagaan, Pengerusi PN, Muhyiddin Yasin, boleh melantik sesiapa saja dalam kalangan pemimpin parti gabungan itu untuk menggalas jawatan berkenaan.

“Apabila Pengerusi PN mengumumkan beliau mahu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung, maka akan diumumkan dalam mesyuarat PN, itu saja. Walaupun kuasanya diberikan Presiden, kita tidak mahu yang lain-lain bercakap mengenai perkara ini.

“Biarlah selepas diumumkan oleh Pengerusi, kita terima baik dan diumumkan dalam mesyuarat tertinggi (PN) yang akan bermesyuarat pada 9 Disember ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Bersatu, di sini, hari ini.

Sebelum ini Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, mengesahkan beliau sudah bersetuju Mohamed Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu dan PN.

Bagaimanapun Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mencadangkan supaya Setiausaha Agung parti itu,  Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu untuk menggantikan Hamzah.

Dalam pada itu Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu meminta isu pelantikan Setiausaha Agung baharu PN itu tidak dibincangkan secara umum pada peringkat akar umbi.

“Kalau kita mahu bercakap, biarlah datang daripada pemimpin tertinggi, presiden-presiden parti duduk berbincang. Bila sampai masanya, barulah wakil diberikan mandat untuk berucap. Kalau seorang dua (bercakap), itu hanya suara di bawah dan bukan daripada keputusan peringkat tertinggi parti.

Ini perkara biasa. Kalau kita hanya ada lima, enam orang ahli betullah… tetapi kita ada berjuta ahli bila digabungkan Pas, Bersatu dan semua parti komponen. Masing-masing ada cita-cita, ada impian, itu tidak mengapa yang di bawah, tapi yang di atasnya tidak,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment