Kepakaran jurutera bangunkan 3 projek utama

KUCHING 24 Nov. – Kepakaran jurutera dalam pelbagai bidang diperlukan bagi membantu Sarawak membangunkan tiga projek utama dengan suntikan RM100 bilion yang dirancang bermula tahun hadapan hingga 2030.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, tiga projek strategik itu adalah , pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa baharu dan pembangunan infrastruktur elektrik, air dan telekomunikasi.

Katanya, khidmat pakar dalam bidang kejuruteraan amat diperlukan dalam bersama-sama menjayakan projek bagi tempoh lima tahun ini malah dijangka memakan masa melebihi tempoh berkenaan.

“Banyak kerja kejuruteraan diperlukan, seperti jurutera hidraulik yang benar-benar mahir dalam bidang ini terutamanya dalam sistem air.

“Ini semua projek besar memandangkan ianya melibatkan terminal gas dan menyentuh mengenai gas, ianya melibatkan sistem perpaipan dan di sini, kita memerlukan kepakaran jurutera dalam bidang itu untuk pengagihan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Abang Johari berkata, kerja-kerja pembinaan pelabuhan laut dalam dijangka akan melibatkan pengwujudan ‘pulau’, manakala inisiatif untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa sendiri bertepatan dengan hasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri apabila jual beli MASwings dimuktamadkan bulan depan.

Katanya , kepakaran kejuruteraan dalam bidang pembuatan komponen kapal terbang pula diperlukan memandangkan wilayah ini mempunyai hala tuju untuk mengeluarkan komponen ini pada masa hadapan.

“Apabila kita dapat mengeluarkan komponen-komponen seperti ini, ia dapat membantu kita mengeluarkan kapal terbang kita sendiri,” katanya..

Dalam pada itu jelasnya, kepakaran dalam bidang aeroangkasa tidak dilupakan memandangkan Kerajaan Persekutuan sudah mengenal pasti kedudukan di Sarawak sebagai platform untuk melancarkan satelit ke angkasa lepas.

Sebagai langkah awal, Kerajaan Sarawak melalui Universiti i-Cats telah melancarkan fakulti kejuruteraan aerongkasa untuk melatih anak-anak Sarawak dalam bidang ini.

(Foto UKAS)

Related posts

Leave a Comment