Jangan selesa dengan unjuran

TANJUNG PIAI 7 Julai – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan unjuran beberapa agensi termasuk Merdeka Center yang meramalkan gabungan itu mampu mengekalkan antara 40 hingga 42 kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16.

Timbalan Presiden UMNO,  Mohamad Hasan ketika mengingatkan demikian berkata, sebarang unjuran tidak boleh dijadikan alasan untuk jentera memperlahankan gerak kerja. sebaliknya perlu terus mendekati pengundi sehingga hari pengundian.

“Saya tak mahu unjuran yang dibuat agensi seperti Merdeka Center dan lain-lain menyebabkan jentera kita berasa selesa. Terus bekerja, santuni pengundi dan pastikan penyokong kita keluar mengundi seawal mungkin.

“Kita mahu kekalkan kerajaan BN sekurang-kurangnya seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15, kalau dapat lebih… Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program sarapan pagi bersama jentera BN di Kukup, di sini, hari ini.

Mohamad berkata kempen kali ini turut memperlihatkan tanda-tanda kelesuan dalam kalangan pengundi Cina susulan dakwaan rasa kecewa terhadap beberapa dasar dan polisi yang didakwa membebankan golongan peniaga.

Katanya, berdasarkan maklum balas diterimanya daripada masyarakat Cina khususnya golongan peniaga, ramai meluahkan kekecewaan terhadap keadaan ekonomi dan pelaksanaan dasar tertentu.

“Saya nampak terdapat sedikit kelesuan terutama dalam kalangan masyarakat Cina pada kempen kali ini. Mereka khususnya peniaga menyatakan kekecewaan kepada kerajaan, kerana dasar-dasar yang dibuat menyebabkan mereka menghadapi banyak kesusahan,” katanya.

Mohamad berkata, antara rungutan diterimanya ialah pelaksanaan sistem e-invois dan cukai yang didakwa membebankan sehingga ada dalam kalangan peniaga berpendapat sistem GST lebih baik berbanding gabungan SST dan e-invois.

“Mereka kata lebih baik GST. Itu kata mereka, bukan saya. GST sekali saja, sekarang ada SST, ditambah pula e-invois,” katanya.

Beliau mendakwa keadaan itu berkemungkinan menyebabkan sebahagian pengundi Cina telah membuat pilihan politik lebih awal atau memilih untuk tidak keluar mengundi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment