Ribuan terputus perkhidmatan, bantuan

GAZA – Pertahanan Awam Palestin di Gaza melaporkan operasinya di utara Gaza terpaksa dihentikan selama 24 hari, menyebabkan ribuan penduduk terputus perkhidmatan perubatan atau bantuan kemanusiaan berikutan serangan berterusan Israel.

Dalam kenyataannya, Pertahanan Awam berkata pada 24 Oktober lalu, pasukan tentera Israel menyasarkan anggota mereka di utara Gaza, merampas kenderaan, memaksa kebanyakan petugas berpindah ke kawasan tengah dan selatan semenanjung itu dan menahan 10 staf.

Agensi itu menyeru organisasi kemanusiaan antarabangsa untuk segera menangani kesengsaraan ribuan orang awam yang terperangkap di utara Gaza akibat serangan Israel yang berterusan.

Pertahanan Awam juga menggesa tindakan segera untuk memulihkan operasi mereka dan mengaktifkan semula kenderaannya di Beit Lahia.

Sejak 5 Oktober lalu, tentera Israel melancarkan pencerobohan darat di utara Gaza, dengan alasan bertujuan menghalang kumpulan pejuang Palestin, Hamas daripada kembali membina kekuatan di kawasan itu.

Bagaimanapun, pegawai Palestin mendakwa bahawa Israel berniat untuk merampas utara Gaza dan menjadikannya zon penampan dengan memaksa penduduknya berpindah.

Related posts

Leave a Comment