KUALA LUMPUR 14 Nov. – Setakat 23 Oktober lalu, sebanyak 11.1 juta pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) direkodkan melabur dengan jumlah unit yang dilanggan sebanyak 173.8 bilion unit.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata seramai 731,872 pemegang unit pula direkodkan melabur dalam Amanah Saham Malaysia (ASM), dengan jumlah unit yang dilanggan sebanyak 29.4 bilion unit.
Menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat), beliau berkata, pelabur boleh melabur dengan jumlah maksimum 300,000 unit bagi ASB, manakala bagi ASM jumlah pelaburan maksimum tertakluk kepada peruntukan saiz dana.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) sama ada cukai dikenakan ke atas dividen ASB dan ASM, Hui Ying berkata, cukai tidak dikenakan ke atas dividen daripada dua skim pelaburan itu.
Beliau berkata, faedah atau kadar dividen yang diterima pemegang unit ASB dan ASM berbanding dengan bank konvensional adalah lebih tinggi.
Sepanjang 2021 hingga 2023, skim ASB yang dilancarkan pada 2 Januari 1990
menjana pulangan pendapatan dalam julat 4.6 hingga 5.25 peratus termasuk bonus.
“Bagi skim ASM, julat pendapatan sepanjang tahun yang sama adalah dari empat hingga 4.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata, pulangan kedua-dua tabung unit melebihi penanda aras kadar simpanan deposit tetap secara purata adalah melebihi 1.5 peratus berbanding bank konvensional.
Katanya, dengan pelaburan permulaan serendah RM10, pelabur boleh menambah pelaburan bagi kedua-dua skim di kaunter cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di seluruh negara.
Ia juga boleh dilakukan atau melalui ejen yang dilantik ASNB selain melalui platform atas talian di aplikasi dan portal myASNB.
Nnn
