KUALA LUMPUR 12 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius kes buli yang sudah beberapa kali berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook rasmi baginda, hari ini bertitah kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
Titah baginda, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
Baginda yang memandang serius kes sehingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
“Di dalam pasukan tentera, latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh saya sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,’ titah baginda.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan satu lagi kejadian buli di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga dan kini dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Khamis lalu, seorang pelajar tahun empat dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas menekap seterika terhadap seorang pelatih tahun dua.
Nnn
