KUALA LUMPUR 12 Nov. – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta Ahli-ahli Parlimen agar tidak bersikap jumud dalam memperkaya dan memartabatkan bahasa Melayu, memandangkan perbendaharaan kata terus hidup dan sentiasa berkembang.
Beliau juga berharap masyarakat dapat menerima perkembangan perbendaharaan Bahasa Melayu dan tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung.
“Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik.
“Contohnya, dahulu digunakan tetuang udara namun kini, radio. Dahulu perkataan ujana yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk taman. Ujana ilmu bermaksud taman ilmu, ujana buku bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.
Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita.
“Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard. Proses penyerapan sesuatu bahasa ke dalam bahasa lain berlaku dalam semua bahasa di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat hari ini.
Fadhlina juga memaklumkan 12 perkataan sohor yang dimasukkan pada kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Perkataan itu adalah ketimbang; tatanan; intiha; mahsul; purbasangka; taakul; tiwikrama; kesenjangan; walhasil; maha kaya; kebinekaan dan tatakelola
Katanya, sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita.
“Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard. Proses penyerapan sesuatu bahasa ke dalam bahasa lain berlaku dalam semua bahasa di dunia ini,” katanya.
Fadhlina berkata ketimbang adalah perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud kata untuk menandai perbandingan.
Katanya, kata ketimbang sama erti atau bersinonim dengan kata daripada.
Bagi perkataan peluncuran pula, ia mempunyai maksud yang sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian.
Dalam konteks ini, jelasnya perkataan peluncuran mengalami peluasan makna.
Nnn
