BAGAN 11 Nov. – Gobind Singh Deo yang gagal mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Selangor dalam pemilihan parti itu semalam akan terus memainkan peranan penting dalam kepemimpinan DAP di peringkat Pusat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata biarpun tidak terpilih, Gobind kekal mewakili parti dalam Kabinet sebagai Menteri Digital.
Beliau juga menyifatkan kegagalan itu sebagai proses biasa yang mencerminkan semangat demokrasi dan ia tidak bermakna Gobind perlu berundur kerana beliau masih Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.
“Ingin saya tekankan bahawa beliau masih akan mewakili parti dalam Kabinet,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di sini, hari ini.
Turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Induk (HoA) antara RAC dan Rivanis Ventures Sdn Bhd bagi pembangunan sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Semalam, Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara gagal berada dalam kelompok 15 teratas sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam pemilihan DAP Selangor sekali gus tidak layak untuk dipilih semula bagi mengekalkan jawatan pengerusi parti negeri berkenaan untuk penggal 2024-2027.
Anthony mengakui bangga dengan sikap ditunjukkan Gobind kerana menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Saya rasa beliau (Gobind) sudah membuat kenyataan semalam bahawa beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.
“Bagi saya, inilah semangat yang harus dimiliki oleh setiap pemimpin DAP. Saya berterima kasih kepada Gobind kerana sumbangan yang diberikan kepada parti khususnya DAP Selangor selama ini,” katanya.
Nnn
