KUALA LUMPUR 8 Nov. – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersyukur mendapat keadilan sekaligus membersihkan namanya selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Muhyiddin Yassin bertanggungjawab terhadap fitnah keatasnya..
Pengerusi DAP itu berkata, keputusan mahkamah menunjukkan bahawa kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terhadapnya adalah palsu dan tidak berasas.
“Malah, (kenyataan Muhyiddin) adalah suatu kenyataan yang amat ‘harmful’ dan boleh disebut ‘merosakkan’ dalam sebuah masyarakat majmuk. Hari ini saya mendapat keadilan untuk membersihkan nama saya kerana sememangnya saya tidak buat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian pada sidang media selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain membaca keputusannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Roz Mawar memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kepada Guan Eng atas kenyataan fitnah berhubung dakwaan pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan selain diarahkan menarik balik kenyataan yang mengaibkan tersebut serta tidak menerbitkannya semula.
Guan Eng berkata, beliau tidak mempunyai pilihan melainkan mengemukakan saman fitnah terhadap Muhyiddin apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu telah mengulangi dakwaan tidak berasas terhadapnya
Beliau telah buat kenyataan bahawa saya sebagai Menteri Kewangan (sebelum ini) telah membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.
“Ini adalah kenyataan palsu bahawa saya menarik balik atau membatalkan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary kerana ia tidak berlaku.
Walaupun saya meminta beliau menunjukkan bukti tetapi beliau gagal berbuat demikian dan sebaliknya mengulangi tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas dan palsu ini terhadap saya,” katanya.
Guan Eng berharap tiada lagi pihak mengulangi kesilapan sama untuk kepentingan atau sebagai modal politik.
