Rasmi kerjasama Israel-UNRWA tamat

BAITULMAQDIS – Israel secara rasmi menamatkan kerjasamanya dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Danny Danon, berkata, langkah itu berikutan undang-undang mengenai UNRWA yang diluluskan Parlimen Israel baru-baru ini.

“Berikutan undang-undang mengenai UNRWA, kami secara rasmi memaklumkan kepada Presiden PBB mengenai penamatan kerjasama dengan organisasi itu,” kata diplomat berkenaan dalam satu kenyataan.

Seminggu lalu, Parlimen Israel meluluskan dua rang undang-undang yang melarang UNRWA daripada beroperasi di Israel dan menghalang pihak berkuasa Israel daripada berhubung dengan agensi PBB itu, yang juga penyedia utama bantuan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa langkah itu secara efektif menjejaskan usaha agensi berkenaan untuk menyediakan bantuan kepada pelarian Palestin.

Menurut pakar, larangan terhadap agensi PBB yang sudah memberikan bantuan dan sokongan penting di seluruh wilayah Palestin dan kepada pelarian Palestin di tempat lain selama lebih dari tujuh dekad akan memberi kesan kepada bantuan kemanusiaan di Gaza.

Bagaimanapun, Menteri Luar Israel, Yisrael Katz menolak hujah itu, mengatakan hanya sebahagian bantuan yang dihantar ke Gaza oleh UNRWA manakala sebahagian besar bantuan kemanusiaan disampaikan melalui organisasi lain.

“Israel komited kepada undang-undang antarabangsa dan akan terus memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Jalur Gaza dengan cara yang tidak membahayakan keselamatan warganya,” katanya.

Pada Januari lalu, Israel mendakwa beberapa pekerja UNRWA di Gaza terbabit dalam serangan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang paling teruk di wilayah itu.

Satu siri siasatan mendapati beberapa masalah berkaitan neutraliti di UNRWA, dan menentukan bahawa sembilan pekerja mungkin terbabit dalam serangan pada 7 Oktober, tetapi tidak menemui bukti untuk dakwaan utama Israel.

Nnn

Related posts

Leave a Comment