Masa anggota parti perkukuhkan Bersatu

SEPANG 5 Nov. – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Muhyiddin Yassin mengajak seluruh anggota parti itu ‘bertaut semula’ selepas berakhirnya pemilihan kepemimpinan parti itu dengan sempurna.

Katanya, inilah masa untuk memperkukuhkan parti demi memastikan kelangsungan perjuangan parti dan menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya memenangi pemilihan kali ini.  Kepada yang tidak berjaya, teruskan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan selepas keputusan pemilihan diumumkan.

Pada pemilihan bagi penggal 2024-2027 itu, Muhyiddin mempertahankan jawatannya tanpa bertanding sementara Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Tiga Naib Presiden pula adalah Dr Radzi Jidin dan Dr Ronald Kiandee yang mempertahankan jawatan manakala seorang lagi Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengingatkan semua yang terpilih khususnya Majlis Pimipinan Tertinggi (MPT) sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Ketua-Ketua Bahagian, menggalas amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Beliau uga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Abdul Azim Mohd Zabidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan seluruh anggotanya yang berjaya mengendalikan pemilihan parti dengan baik.

Sementara itu, Hamzah dalam hantaran melalui Facebooknya mengucapkan tahniah kepada Dr Radzi , Dr Ronald Kiandee dan Ahmad Faizal yang memenangi jawatan Naib Presiden Bersatu.

“Gandingan mereka ini merupakan formula terbaik ke arah kekuatan parti bersama-sama Ahli MPT dalam membantu Presiden dan Timbalan Presiden untuk menjulang perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment