Lelaki mengamuk di tol ada 17 rekod jenayah

HULU LANGAT 5 Nov. – Gara-gara mengamuk di plaza tol, seorang lelaki dengan 17 rekod jenayah lalu akhirnya ditahan semalam, selepas video menunjukkannya memarahi jurutol dan menendang dinding kaunter tol, tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya mengesan satu rakaman video pertengkaran antara seorang lelaki dengan petugas di sebuah plazal tol berhampiran Jalan Batu 9, Cheras, dekat sini.

Beliau berkata, rakaman video menunjukan lelaki itu keluar daripada keretanya dan terus ke kaunter tol lalu memarahi jurutol serta menendang dinding kaunter sebelum beredar dari lokasi kejadian.

“Hasil siasatan dan keterangan jurutol wanita berusia 22 tahun itu mendapati kejadian berpunca akibat suspek berang selepas ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch n Go dengan kuat semasa menggunakannya.

Suspek terus mengamuk memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di sebuah taman perumahan di kawasan Hulu Langat pada pukul 7 malam tadi untuk siasatan.

Hasil ujian awal saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, selain turut mempunyai 17 rekod jenayah lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Naazron berkata, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment