MCMC ambil keterangan Razman

PUTRAJAYA 29 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria susulan membuat hantaran didakwa bersifat palsu dan jelik pada akaun Facebook miliknya.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, hantaran yang dimaksudkan itu membabitkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman termasuk isu kibaran bendera negara asing ketika perarakan sambutan ‘Malaysia Guang Ze Zun Wang Cultural Festival 2024, baru-baru ini.

“Terdahulu, satu notis sudah dihantar kepada beliau untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi yang antara lain, bersifat mengancam, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut MCMC,  pasukan penguatkuasanya turut mengambil keterangan pentadbir akaun Facebook itu selain menyita kelengkapan komunikasi milik pentadbir akaun iaitu satu unit telefon bimbit dan satu unit kad sim bagi membantu siasatan.

“MCMC mengingatkan masyarakat supaya sentiasa cakna dan berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam terutamanya isu 3R.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang undang sedia ada,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment