PUTRAJAYA 25 Okt. – Logo khusus Malaysia MADANI dilancarkan hari ini yang berteraskan enam nilai iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Keyakinan, Hormat dan Ihsan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan logo itu untuk digunakan dalam setiap aktiviti serta program anjuran kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Mesyuarat Khas Akademi Kenegaraan pada 27 Februari lalu memutuskan penggunaan logo itu berfungsi sebagai lambang atau representasi kepada gagasan Malaysia MADANI yang perlu diperluaskan penggunaannya.
“Setiap penganjuran program kementerian, jabatan dan agensi kerajaan seharusnya dipadankan dengan nilai teras Malaysia MADANI yang berkaitan dan perlu diperlihatkan melalui logo khusus.
“Setiap logo khusus ini perlu digunakan bersesuaian dengan maksud enam teras Malaysia MADANI,” katanya pada majlis pelancaran logo itu selepas sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Mohamad Fauzi Md Isa.
Beliau berkata, kerajaan juga amat mengalu-alukan pembudayaan logo khusus Malaysia MADANI itu dilakukan secara bersama-sama merentasi sektor awam, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan kenegaraan serta kemasyarakatan dapat diterapkan dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Usaha ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi penghayatan Malaysia MADANI dalam kalangan pemimpin dan rakyat demi meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran tanah air tercinta ini,” katanya.
Nnn
