KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pemimpin kerajaan didakwa masih berfikir seperti pembangkang sebelum menjadi kerajaan sehingga menyebabkan pelaksanaan dan pengumuman dasar bercelaru dan mengelirukan rakyat.
Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya), ketika membuat dakwaan itu merujuk beberapa pengumuman kerajaan mengenai pemberian subsidi dan pengkelasan kategori isi rumah yang dilihat tidak konsisten.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya mengambil kira semua konsep dan konteks sebelum membuat pengumuman, bukan sewenang-wenangnya dibuat tanpa kerangka dasar yang jelas.
“Kelemahan utama kerajaan pada hari ini adalah mereka masih berfikir sebagai pembangkang, bukan kerajaan. Bila berfikir seperti zaman mereka dahulu, macam-macam janji nak dibuat, akhirnya tidak buat.
“Jadi, perangai itu terbawa-bawa dalam pelaksanaan dasar kerajaan. Ini perkara yang berbahaya kepada rakyat, jadi mohon hentikan kecelaruan dasar ini.
Saya tidak faham apa yang syok sangat umumkan benda yang tak menentu ini. Ini bukan flip flop, ini pusingan “round about”, pusing-pusing benda yang sama tanpa satu penjelasan yang jelas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, apabila kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, rakyat diminta mengisi permohonan BUDI MADANI, sedangkan sebelum ini, mereka sudah diminta mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Katanya, pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut mengenai golongan T15 yang tidak akan menerima subsidi petrol dan pendidikan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tanpa penjelasan lanjut mengenai maksud T15, menyebabkan rakyat merujuk kepada konteks pendapatan isi rumah sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.
“Pada 20 Oktober lalu, Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) berkata, beliau tidak fikir kerajaan akan menggunakan pendapatan isi rumah seperti sekarang.
“Sebagai kerajaan, mana boleh main rasa-rasa, kita fikir, kita lihat. Perkara ini sudah diumumkan kepada rakyat.
“Jika keadaan seperti ini berterusan, bila kita pembangkang sentuh perkara ini, dikatakan kita mempolitikkannya dan bila rakyat persoal, dikatakan tidak betul. Apa yang betul? Tunjukkan kepada kami apa yang betul,” katanya.
