Malaysia import 1,358,718 tan beras

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Setakat September lalu, Malaysia mengimport 1,358,718 tan beras dari negara Thailand, Vietnam, Pakistan, Kemboja, India, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Myanmar dan Sepanyol.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 549,824 tan diimport dari Vietnam.

Malaysia turut mengimport 349,832 tan dari Pakistan diikuti Thailand (178,056), India (229,451), Kemboja (38,397), Myanmar (12,575), Korea (250), Taiwan (170), Jepun (142), Indonesia (13) dan Sepanyol (lapan).

Mohamad, berkata kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan produktiviti beras tempatan yang stabil bagi mengurangkan import beras dan meningkatkan pendapatan petani.

Antara usaha itu termasuk mempromosikan penggunaan teknologi dan memperbaiki pengurusan penanaman yang sistematik, di mana kementerian menggalakkan penggunaan teknologi pertanian seperti dron dan jentanam bagi meningkatkan hasil padi melalui program Sawah Padi Pintar Skala Besar Ala Sekinchan (SMART SBB).

“Ia mencatatkan peningkatan hasil purata sehingga 10.45 metrik tan per hektar, sekali gus meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kos penanaman mereka,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

Mohamad berkata, kementerian juga memperkenalkan varieti padi baharu hasil daripada penyelidikan dan pembangunan berterusan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Tahun ini, MARDI memperkenalkan dua varieti beras istimewa berkualiti tinggi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan petani di negara ini, iaitu beras wangi tempatan MRQ 107 dan MRQ 111, yang boleh menghasilkan lebih lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang betul.

“Kedua-dua varieti ini mempunyai daya tahan yang baik terhadap penyakit karah, lebih tahan lasak, tahan penyakit dan mempunyai hasil yang lebih tinggi.

“Oleh itu, penggunaan varieti padi baharu ini dijangka membantu petani dalam menangani pelbagai isu seperti serangan penyakit dan perosak dan bencana alam,” katanya.

Semalam, Mohamad memberi jaminan stok bekalan dan penyimpanan beras negara masih mencukupi sehingga lebih lima bulan.

“Sehingga Oktober 2024, jumlah keseluruhan stok beras termasuk stok simpanan ialah 1.1 juta tan metrik mencukupi untuk 5.6 bulan,” katanya menjawab pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik).

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment