JOHOR BAHRU 7 Julai – Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 94.49 peratus berbanding pilihan raya Johor 2022 yang merekodkan 87 peratus.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 7.49 mata peratusan dengan membabitkan 19,471 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan memaklumkan, proses pengundian awal bermula pada pukul 8 pagi.
Sebanyak 62 pusat pengundian awal dibuka di seluruh Johor dengan operasi pusat pengundian ditamatkan secara berperingkat iaitu pada pukul 12 tengah hari membabitkan 29 pusat mengundi, 2 petang (lima pusat mengundi) dan 5 petang (28 pusat mengundi).
Menurut kenyataan itu , sebanyak 960 anggota tentera dan pasangan serta 11,511 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi PRU DN Johor Ke-16.
(Foto SPR)
