KUALA LUMPUR 21 Okt. – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN Machang) yang digantung enam bulan sejak Julai lalu daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat dilarang mengikuti persidangan itu dari Galeri Awam.
Ahli Parlimen Bersatu itu juga tidak dibenarkan berada di tempat pegawai bertugas, sebaliknya hanya boleh berada di pekarangan kompleks Parlimen dan mengikuti persidangan melalui siaran langsung yang dipapar.
Susulan itu, pembangkang memohon penjelasan Dewan Rakyat mengenai tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul melarang Wan Ahmad Fayhsal daripada mengikuti persidangan itu dari galeri awam.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Ahli Parlimen Machang itu berada di galeri awam bagi mengikuti persidangan Isnin lalu, tetapi pada Selasa, beliau menerima surat daripada Johari yang tidak membenarkannya berbuat demikian.
“Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), jika seseorang ahli digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat, dia hendaklah keluar dan tidak ambil bahagian dalam mesyuarat sehingga tamat tempoh penggantungan.
Machang sudah digantung selama enam bulan dari 18 Julai 2024 hingga 18 Januari 2025, namun dalam perenggan tiga surat yang diterima beliau beberapa hari lalu menyatakan beliau tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat, termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas.
“Beliau tidak duduk di tempat beliau, tetapi di galeri awam tempat orang kampung boleh datang dari ceruk mana sekalipun duduk sini.
Tetapi Speaker kata Machang tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau Ahli Parlimen yang prihatin dan komited, dan ada perkara berkaitan rakyat Parlimennya, boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) Ahli Dewan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Beliau mempersoalkan sama ada tindakan itu sebagai satu usaha Kerajaan Madani untuk mengikis peranan pembangkang.
Dalam pada itu, kenyataan Takiyuddin itu turut disokong Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Ronald berkata, pernah ada duluan kes seorang Ahli Parlimen pembangkang yang digantung tidak keluar Dewan walaupun diarah berbuat demikian dan berada dalam Dewan keesokan harinya, namun tidak menyertai perbahasan.
“Bagaimanapun, petua dibuat baru ini tentu sekali tidak dijelaskan dalam Peraturan Mesyuarat 44(3), jadi saya rasa itu adalah satu petua baharu, diadakan secara konvensyen tetapi itu bukan konvensyen kita,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Noor yang mempengerusikan persidangan itu berkata, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan kerana keputusan itu dibuat Johari.
“Autoriti keputusan masih pada Speaker, saya tak boleh override melainkan dalam majlis ini ada hierarchy of court. Apa yang saya cadangkan insiden yang telah berlaku pada 18 Julai usulkan dengan surat ini. Saya tidak akan membuat keputusan dalam hal ini,” kata Ramli.
Takiyuddin kemudiannya bertanya sama ada beliau dibenarkan untuk membangkitkan semula isu itu ketika dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat dan Ramli membenarkan perkara ini dibangkitkan semula.
Johari ketika ini berada di Laos untuk menerima tugas sebagai Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 bagi 2025 daripada Presiden Dewan Rakyat Laos merangkap Presiden AIPA ke-45, Xaysomphone Phomvihane.
