Dengar rintihan rakyat, jangan jadi ‘lembu kenyang’

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Istilah kerajaan ‘lembu kenyang’ muncul kembali di Dewan Rakyat ketika Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, memulakan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 hari ini.

Jun lalu, istilah kerajaan ‘lembu kenyang’ mencetus suasana gamat di Dewan Rakyat  apabila dibangkitkan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) ketika berbahas selepas Sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel

Kali ini, Ahli Parlimen Larut itu melahirkan harapan dengan harapan Kerajaan MADANI benar-benar menangani isu denyut nadi rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup melalui Belanjawan 2025, supaya tidak dilabel sebagai kerajaan ‘lembu kenyang’.

“Dengarlah rintihan rakyat, jangan jadi kerajaan yang dipanggil orang sebagai kerajaan ‘lembu kenyang,” katanya sebelum disusuli tepukan sokongan wakil pembangkang.

Hamzah menegaskan tumpuan seharusnya diberikan secara lebih jelas kepada usaha mencipta enjin pertumbuhan ekonomi baharu dan bukannya semata-mata peluasan cukai sedia ada, pengenalan cukai-cukai baharu dan pemotongan subsidi.

Beliau membangkitkan kajian UNICEF dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) tahun ini yang mendapati lapan daripada 10 isi rumah di Malaysia berdepan cabaran untuk mencukupkan keperluan asas dan 90 peratus isi rumah di negara ini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

Dapatan sama turut diperoleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) membuktikan isu kos sara hidup rakyat amat mendesak.

“Bahkan di sana sini kita dengar ketua keluarga terpaksa buat lebih daripada satu kerja, ramai dalam keluarga B40 pula makan satu atau dua kali sahaja sehari akibat tekanan hidup.

“Kini rata-rata pekerja juga terpaksa memilih membawa bekal makanan ke pejabat untuk kurangkan perbelanjaan kerana kekangan kewangan. Pada masa sama hutang isi rumah berjumlah RM1.53 trilion pada 2023 meningkat pada kadar purata 5.1 peratus berbanding 2018,” katanya mengenai tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat.

Hamzah berkata, sepatutnya realiti kepayahan hidup yang dihadapi rakyat yang disokong dengan data-data berkenaan harus disantuni dengan baik melalui Belanjawan 2025.

Beliau menegaskan, pentadbiran di Putrajaya mengumumkan pelbagai data yang baik, namun realiti di bawah menunjukkan ramai keluarga yang terhimpit dengan kos sara hidup di bawah.

“Apakah menteri menteri tak sedar akan realiti ini. Setiap kali belanjawan dibentangkan, rakyat menaruh harapan kepada kos sara hidup rendah, pekerjaan dan peluang ekonomi, kesihatan dan pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik, jaminan sosial yang kuat dan kemudahan infrastruktur yang baik,” katanya.

Beliau berkata rakyat mahu lihat pengekalan dan peningkatan subsidi ke atas barangan asas seperti beras, tepung dan bahan api bagi meringankan kos harian dan rakyat mahu kawalan harga lebih ketat bagi mengelak manipulasi harga dan rakyat mahu bantuan tunai diperluaskan kepada mereka yang memerlukan.

Di samping itu, katanya rakyat juga mahu peluang kerja lebih luas dan berkualiti, akses perumahan mampu milik sesuai pendapatan mereka dan rakyat juga mahu bantuan lebih besar bagi kewangan pendidikan.

“Sedarlah realiti di bawah sana, rakyat berdepan kos sara hidup tinggi… jangan kita bangga dengan inflasi 1.9 peratus kerana rakyat tak tahu pun itu semua. (Mereka hanya tertanya-tanya) apa pasal Menteri Kewangan kata bagus, tetapi beras tak ada nak makan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menyokong pembangunan infrastruktur yang kondusif dan pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat membabitkan semua lapisan tanpa mengira bangsa dan agama.

Tambah beliau, ia bukan bukan hanya harapan rakyat biasa, pemain industri dan pelabur juga meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada belanjawan ini.

“Kestabilan ekonomi dan dasar yang jelas akan memberikan keyakinan kepada mereka… berikan beberapa insentif kepada mereka, berikan geran dan akses pembiayaan yang mencukupi, bangunkan infrastruktur dan ekosistem perniagaan yang kondusif.

“Kami di pihak sini akan menyokong demi masa depan negara yang lebih baik kerana ia boleh memberikan keyakinan kepada pelabur luar untuk memberi manfaat kepada ekonomi negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment