ISTANBUL – Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa, perang ke Lubnan menghalang usaha untuk mencapai gencatan senjata.
“Peluasan perang ke Lubnan menjauhkan kita daripada mencapai gencatan senjata yang diperlukan untuk memberikan kelegaan kepada orang awam di seluruh rantau ini,” katanya yang baru sahaja pulang dari Lubnan di platform X.
Katanya, orang ramai hidup dalam ketakutan dan kebimbangan di mana ratusan ribu orang, sebahagian besar daripada mereka wanita dan kanak-kanak, terpaksa melarikan diri untuk mencari keselamatan.
Lazzarini berkata pasukan UNRWA bekerja sepanjang masa untuk menyediakan bantuan asas kepada rakyat di Lubnan, termasuk bantuan psikologi untuk kanak-kanak.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk pemimpin menunjukkan keberanian dan menamatkan tragedi kemanusiaan yang semakin meningkat di seluruh rantau ini.
Pada Sabtu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri untuk membincangkan usaha menghentikan serangan Israel di Lubnan.
Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di seluruh Lubnan terhadap apa yang dikatakannya sebagai sasaran Hizbullah sejak 23 September, membunuh sekurang-kurangnya 1,437 orang, mencederakan lebih 4,123 yang lain dan memaksa lebih 1.34 juta orang melarikan diri.
Walaupun amaran antarabangsa bahawa Timur Tengah berada di ambang perang serantau akibat serangan tanpa henti Israel ke atas Gaza dan Lubnan, Israel memperluas konflik itu pada 1 Oktober dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan.
