PUTRAJAYA 14 okt. – Lebih 20 pusat rehabilitasi diwujudkan di seluruh negara bagi menempatkan ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) untuk menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela.
Pusat itu dikendalikan bersama oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta beberapa agensi terbabit dalam isu itu.
Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Baharuddin Ahmad, berkata ia adalah inisiatif kerajaan dalam usaha membimbing mereka untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Katanya, berdasarkan rekod diterima MKN, dianggarkan ada 10,500 ahli GISBH di seluruh negara.
“Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat selama 90 hari di beberapa pusat latihan kerajaan terpilih selain disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang tempoh itu.
Bagi mencapai matlamat ini, semua ahli GISBH yang berada di seluruh negara tidak kira di Sabah atau Sarawak dijemput menyertainya untuk menjalani latihan kemahiran secara komprehensif serta pemulihan dari aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan dan kenegaraan.
“Bagi ahli-ahli yang berkeluarga (ibu, bapa, anak) kita juga tidak akan memisahkan mereka dan akan berusaha menyediakan penginapan tinggal bersama,” katanya dalam sidang media pengenalan Program Rehabilitasi secara sukarela, hari ini.
Baharuddin berkata, ahli-ahli GISBH memerlukan bimbingan dan sokongan penuh kerajaan dan masyarakat dalam memastikan aspek akidah dan kelangsungan hidup mereka terjamin.
“Saya menyeru semua ahli GISBH di seluruh negara supaya mendaftar program ini bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih lestari,” katanya.
Pendaftaran dibuka selama 30 hari bermula hari ini sehingga 14 November dan ahli GISBH yang ingin mendaftar boleh melayari https://form.jotform.com/242760538389468.
Mereka yang memerlukan bantuan pendaftaran pula boleh menghubungi pusat panggilan JAKIM di talian 03-88707294/7295/7296 atau Bilik Situasi Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) MKN di talian 03-88880733 atau mendaftar di Jabatan Agama Islam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Baharudin berkata untuk permulaan program, pihaknya akan menumpukan kepada pemilihan peserta yang berada dalam negara, namun pendaftaran juga boleh dilakukan oleh ahli GISBH yang berada di luar negara.
Katanya, ahli-ahli GISBH juga boleh membuat laporan polis sekiranya mereka mendapat ancaman atau ugutan untuk menyertai program ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata Program Rehabilitasi secara sukarela dirangka selepas kerajaan berpandangan mereka ini tidak seharusnya disisihkan, tetapi diberikan bimbingan dan sokongan penuh daripada kerajaan dan masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama program ini termasuk melakukan proses pemulihan ahli-ahli GISBH selepas tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh polis, dan setiap langkah menerusi ini juga berlandaskan maklumat perkembangan siasatan diberikan secara telus oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Kedua, kerajaan cenderung melihat mereka yang terbabit dalam program pemulihan ini sebagai mangsa dan bukannya sebagai pesalah, yang mana pendekatan ini selaras prinsip ihsan yang menjadi salah satu prinsip asas kerajaan.
Ketiga, MKN diberi tanggungjawab sebagai penyelaras program pemulihan ini kerana MKN merupakan agensi pusat yang bertanggungjawab mengenai isu-isu keselamatan. Sebagai agensi pusat adalah lebih mudah bagi MKN menggembleng tenaga seluruh jentera kerajaan dalam proses pemulihan ini,” katanya.
Nnn
