GENEVA – Israel mengkritik laporan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa negara itu sengaja berusaha memusnahkan sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza dan menyalahgunakan tahanan Palestin.
Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa PBB (CoI) berkata, Israel melaksanakan dasar yang diselaraskan untuk memusnahkan sistem penjagaan kesihatan di Gaza.
Menurut laporan yang diterbitkan itu, Israel melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan melalui pembunuhan dengan serangan tanpa henti dan sengaja terhadap petugas perubatan serta kemudahan perubatan.
Israel bagaimanapun dengan tegas menafikan tuduhan itu dan menganggap ia sesuatu yang keterlaluan dalam satu kenyataan daripada misinya di Geneva.
Laporan terbaharu itu adalah satu lagi percubaan terang-terangan oleh CoI untuk menghilangkan keabsahan kewujudan Israel dan menghalang hak untuk melindungi populasinya.
Kenyataan itu mendakwa laporan tanpa rasa malu itu menggambarkan tindakan Israel di kemudahan kesihatan yang dipenuhi pengganas di Gaza sebagai satu dasar terhadap sistem kesihatan Gaza.
“Kemudahan perubatan di Gaza telah digunakan secara sistematik oleh kumpulan Hamas dan Jihad Islam Palestin untuk aktiviti pengganas,” kata kenyataan itu.
Israel juga menafikan tuduhan penyalahgunaan tahanan Palestin secara meluas dan sistematik, yang disamakan dengan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Israel komited sepenuhnya kepada piawaian undang-undang antarabangsa berkaitan rawatan tahanan. Ia termasuk larangan penggunaan kekerasan berlebihan dan layanan buruk,” katanya.
Israel turut menuduh suruhanjaya berkenaan mencipta realiti alternatif, sekali gus menyumbang kepada keburukan konflik yang berlaku.
