Setahun serangan ke atas Palestin

SEMENANJUNG GAZA – Menjelang setahun serangan Israel ke atas Palestin, tentera Zionis memberi amaran kepada penduduk supaya mengosongkan sebahagian daripada Gaza tengah sebagai persediaan ‘tindak balas serius’ terhadap pejuang Hamas di kawasan itu.

Gesaan supaya segera mengosongkan kawasan Gaza itu arahan pertama sejak beberapa minggu berikutan tentera Israel mengalihkan tumpuannya kepada memerangi Hizbullah di Lubnan.

“Hamas dan pertubuhan yang disokongnya meneruskan aktiviti ketenteraan mereka di kawasan anda dan akibatnya, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) akan bertindak dengan kekuatan berskala besar menentang unsur-unsur ini,” kata arahan pemindahan itu yang turut melampirkan peta senarai blok untuk dipindahkan.

Penduduk Palestin yang tinggal di kawasan berhampiran Koridor Netzarim di tengah Gaza diberi amaran untuk berpindah di bawah arahan terbaru yang disiarkan di platform sosial X.

Israel memusnahkan sebahagian besar Gaza sejak serangan Hamas 7 Oktober tahun lalu, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali berikrar memperoleh kemenangan kekal ke atas pejuang Hamas.

Setahun kemudian, jumlah kematian yang disahkan akibat serangan Hamas termasuk tebusan yang terbunuh dalam tahanan mencecah 1,205 di pihak Israel dengan kebanyakannya mangsa itu orang awam.

Ketika serangan itu, Hamas menculik 251 tebusan dengan 97 daripadanya masih ditahan di Gaza termasuk 33 yang dikatakan tentera Israel terkorban.

Di Gaza, hampir kesemua 2.4 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali manakala dianggarkan sekurang-kurangnya 41,825 orang terbunuh dengan kebanyakan mangsanya wanita atau kanak-kanak.

(Foto keratan laporan HM)

Nnn

Related posts

Leave a Comment