BANDAR BAHARU 5 Okt. – Setakat beberapa hari lalu jumlah tangkapan siasatan kes membabitkan GISB Holdings (GISBH) adalah 625 orang dan dijangka berubah berikutan siasatan berterusan masih dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata penahahan baharu boleh dilakukan sekiranya pihak berkuasa mendapati ia perlu bagi melengkapkan siasatan.
Beliau juga memaklumkan, pada peringkat awal siasatan kes berkenaan hanya empat peruntukan undang-undang digunakan yang membabitkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ia bertambah kepada 10 sehingga kini.
Saifuddin Nasution berkata demikian selepas Program Sua Mesra Bersama KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-76 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin, tujuan siasatan dilakukan untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan kerana setiap tindakan diambil polis berasaskan bukti meyakinkan ke atas mereka yang terbabit.
“Soal siasat ke atas penjaga, pimpinan GISBH atau kanak-kanak terbabit sangat komprehensif. Kalau ada kewajarannya, siasatan akan dilengkapkan dan kemudian diserah kepada Pejabat Peguam Negara.
“Jumlah tangkapan terkini ahli GISBH yang dimaklumkan beberapa hari lalu kepada saya oleh pihak polis, adalah seramai 625 orang setakat ini,” katanya.
