Pelaburan tak wujud, rugi RM124,000

KOTA TINGGI 4 Okt. –  Seorang lelaki mendakwa kerugian RM124,000 selepas terpedaya pelaburan tidak wujud yang diiklankan atas nama L-Trader di Facebook (FB) pada bulan Mei lalu, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman.

Dalam laporan polis semalam, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu melakukan 21 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun berbeza selepas menyertai pelaburan di FB yang menawarkan keuntungan lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit.

Menurut Yusof, modus operandi sindiket skim pelaburan ini adalah dengan memberikan mangsa satu ID untuk memantau sendiri status serta pulangan pelaburan melalui aplikasi atas nama L-Trader.

“Dengan cara itu, mangsa berasa yakin dengan skim pelaburan ini kerana dapat memantau sendiri status pelaburannya. Mangsa pada awal dapat untung RM55,000,” katanya melalui satu kenyataan media.

Beliau berkata, mangsa kemudian diyakinkan untuk menambah pelaburan sehingga mencapai RM124,000.

Katanya, lelaki itu menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan wang hasil keuntungan melalui aplikasi L-Trader yang dicatatkan berjumlah RM9 juta.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai berhati-hati serta tidak terpedaya dengan skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Related posts

Leave a Comment