KUALA LUMPUR – Pelantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih menjadi kebiasaan di bawah kepemimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun analisis Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendapati, di bawah pentadbiran Anwar yang memasuki tempoh 22 bulan menunjukkan angka lantikan itu lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.
Setakat ini terdapat 95 pelantikan politik dibuat di bawah kepemimpinan Anwar berbanding 273 pelantikan pada era Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yasin (186), yang masing-masing mentadbir selama 17 dan 15 bulan.
Dapatan analisis ke atas lima Perdana Menteri sebelum ini turut menunjukkan, pentadbiran Najib Razak (2009 hingga 2018) merekod jumlah lantikan politik tertinggi iaitu 301 orang, manakala di bawah Dr Mahathir Mohamad (2018 -2020), hanya 86 pelantikan politik dibuat.
Data berkenaan diperoleh hasil penelitian terhadap 135 badan berkanun dan 283 GLC sepanjang lima pentadbiran terkini.
Penyelidik IDEAS, Doris Liew, berkata analisis pihaknya mendapati jumlah pelantikan politik tertinggi sepanjang lima era pentadbiran Perdana Menteri terdahulu datangnya daripada UMNO, diikuti Bersatu.
Katanya, lantikan politik daripada Pas adalah seramai 53 orang, diikuti DAP (45), MCA (43), PKR (33), Bersatu (22) serta 15 orang daripada Amanah.
“Tahun ini, IDEAS menambah baik data pelantikan dalam 283 anak syarikat GLC, yang mana IDEAS mengesan pelantikan politik tertinggi adalah ketika pentadbiran Ismail Sabri dengan 33 pelantikan, diikuti Najib (32) dan Muhyiddin (31 ).
Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), pelantikan dalam GLC jauh lebih sedikit iaitu masing-masing 16 orang di bawah Anwar dan 13 orang di bawah Dr Mahathir,” katanya pada taklimat kepada media mengenai perkembangan terkini Pantau Kuasa di sini, hari ini.
Pantau Kuasa adalah projek aktif yang dimulakan sejak 2021, bertujuan memantau pelantikan politik, dengan datanya sentiasa dikemaskini untuk membolehkan orang ramai melihat dan menilai menerusi laman sesawang www.pantaukuasa.com.
Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, kewujudan berterusan lantikan politik dalam badan berkanun dan GLC menekankan pengaruh politik yang mendalam dalam sektor tadbir urus sektor awam.
“Malaysia kini kekurangan mekanisme pelantikan telus dan berasaskan merit. Pelantikan boleh digunakan untuk kepentingan politik dan memberikan jawatan sinekura.
“Hal ini boleh mengakibatkan pemantauan dan pengurusan lemah terhadap entiti ini, seterusnya menghakis kepercayaan awam terhadap struktur tadbir urus Malaysia,” katanya.
Katanya, Ahli Parlimen boleh mengawasi prestasi badan berkanun dan GLC melalui jawatankuasa khas Parlimen, bukan menduduki sebarang jawatan di dalamnya.
“Penemuan terkini Pantau Kuasa menunjukkan pelantikan politik masih menjadi kebiasaan, biarpun di bawah kepimpinan Anwar. Memandangkan landskap politik semakin kompleks, yang mana gabungan berbeza mungkin memerintah negara akan datang, adalah penting pelantikan badan awam ini dibuat telus,” katanya.
Dapatan berkenaan dikemas kini dan dimuat naik di laman web www.pantaukuasa.com.
