NEW YORK – Delegasi Turkiye dan ramai yang lain meninggalkan sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 pada sebagai protes menjelang ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menurut laporan media, delegasi yang diketuai oleh wakil tetap Turkiye ke PBB, Duta Ahmet Yildiz, meninggalkan dewan sebelum Netanyahu memulakan ucapannya.
Banyak delegasi lain dilihat mengikuti protes delegasi Turkiye dan turut keluar dari dewan.
Sebelum ini timbul kritikan mengenai keputusan membenarkan Netanyahu berucap di PBB, memandangkan Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan sedang berusaha mendapatkan waran tangkap terhadapnya atas dakwaan melakukan “jenayah perang.”
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan turut mengecam kehadiran Netanyahu di UNGA dan menyifatkannya sebagai ‘memalukan’.
“Adalah sangat memalukan bahawa seorang penjenayah (Netanyahu), yang telah melakukan genosid di Palestin, boleh hadir di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini adalah satu pengkhianatan terhadap kenangan bayi, kanak-kanak, ibu, bapa, pegawai PBB, wartawan, dan ramai lagi yang dibunuh secara kejam.
“UNGA sama ada akan melayan pembunuh (Netanyahu) seperti yang sepatutnya atau situasi memalukan ini akan tercatat dalam sejarah PBB sebagai satu titik hitam,” kata Erdogan kepada pemberita pada Rabu di Turkish House di New York.
Beliau turut menyatakan bahawa PBB berada dalam keadaan yang tidak mampu melaksanakan misinya bagi menghalang peperangan, tidak dapat melindungi pegawai-pegawainya sendiri, dan gagal menuntut Israel bertanggungjawab atas pembunuhan terbabit.
Erdogan juga menekankan bahawa PBB kehilangan fungsinya dan kini menjadi struktur yang mempertahankan sistem di mana “kekuatan adalah segalanya.”
Nnn
