NEW YORK – Negara-negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) digesa bersatu dalam menyokong hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri, selari dengan nilai teras gerakan itu iaitu kemerdekaan, kenegaraan dan kedaulatan.
Menteri Luar, Mohamad Hasan, ketika menegaskan kepentingan menyokong Palestin itu juga menggesa negara-negara NAM untuk menyokong sepenuhnya pelaksanaan Resolusi ES-10/24.
Dalam ucapannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Menteri NAM mengenai Palestin, pada Khamis, beliau berkata, adalah penting bagi anggota NAM memberi sokongan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.
“Ini selaras dengan asas dan prinsip Pergerakan kita mengenai hak untuk menentukan nasib sendiri, kemerdekaan kenegaraan dan kedaulatan,” katanya yang juga mendesak pemberhentian perdagangan dengan individu dan entiti di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
“Kita mesti mendesak mendesak agar keseluruhan komuniti pendatang dikenakan sekatan. Kita mesti mendesak penghentian bekalan senjata dan peluru kepada Israel,” kata Mohamad..
Malaysia juga menyeru agar sokongan berterusan untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang bebas dan merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta kemasukannya sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mohamad yang turut mengalu-ngalukan penerimaan Resolusi ES-10/24, berkata ia “menggariskan tindakan konkrit susulan Pendapat Penasihat, untuk menamatkan pendudukan Israel.”
Resolusi itu menetapkan garis masa muktamad selama 12 bulan untuk Israel menamatkan penjajahan haramnya di OPT.
Nnn
