Sindiket ‘gadis kalung bunga’ tumpas

KUALA LUMPUR 21 Sept. – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan sindiket ‘gadis kalung bunga’ dengan menahan 93 orang termasuk 78 wanita waga asing dalam serbuan di dua premis perniagaan sekitar ibu negara, semalam.

Operasi yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha, itu bermula pukul 9 malam hasil risikan oleh pasukan operasi di dua premis perniagaan di Bandar Manjalara Kepong dan Bukit Bintang.

Menurut Unit Komunikasi Korporat JIM, modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warganegara asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza.

Pelanggan akan diberi pilihan untuk memilih kalungan bunga pada kadar harga bermula RM100 hingga RM1000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut.

Susulan itu, 15 lelaki warga asing ditahan melibatkan tujuh warga China, lima warga Bangladesh, dua warga Myanmar dan seorang warga Thailand di samping 78 wanita iaitu 62 warga Thailand, 10 warga Vietnam, empat warga China dan masing-masing seorang warga Mongolia dan Laos.

Kesemua warga asing terbabit berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun dan mereka  ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment