TEMERLOH 14 Sept. – Pas tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa juga bentuk kerjasama bagi menjamin keindukan Islam dan Melayu kekal terpelihara di negara ini, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya, beliau menegaskan Pas akan teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar.
Berlandaskan al-Quran dan sunnah, beliau berkata keputusan dibuat itu turut mencakupi ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai serta perpaduan umat.
Katanya, ia sekali gus membantu membentuk Pas dalam menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera.
“Pas akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait.
“Justeru, Pas memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat serta mewajibkan Islam memimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar yang bertemakan ‘Islam Adalah Penyelesaian’ sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Antara pimpinan tertinggi PN yang hadir adalah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S P Punithan.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin mengesahkan terdapat usaha daripada pihak tertentu yang mempelawa parti itu untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.
Menurut Hashim yang dipetik sebuah portal sebagai berkata, perkara itu juga ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama, namun secara sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad.
Abdul Hadi turut membangkitkan persoalan mengenai ideologi dibawa DAP bersama propaganda parti itu boleh saja diterima semua pihak, namun mengapa ‘ideologi’ Islam yang adil tidak boleh disampaikan dan diterima semua.
Justeru, beliau menuntut peranan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang ahlinya dianggotai masyarakat bukan Islam, membantu parti menerobos masuk dalam komuniti bukan Islam.
“Peranan DHPP amat penting untuk meredah masuk ke dalam masyarakat bukan Islam yang menjadi sebahagian daripada masyarakat majmuk, secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Antaranya melalui penglibatan dalam kerajaan negeri dan penonjolan tokoh dalam kalangan DHPP. Maka tugas kita untuk mengulangi sejarah bahawa Islam diterima menjadi penyelamat semua manusia, bukannya penjajah,” katanya.
Nn
