KLUANG 10 Sept. – Bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.
Mohamad Haizan yang mesra disapa sebagai ‘Coach Haizan’, 61, adalah anak jati Layang-Layang, Renggam, memiliki kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, mengumumkan calon yang bakal mewakili gabungan itu, di hadapan jentera parti di Bilik Gerakan Utama PN DUN Mahkota di Kampung Melayu, di sini, malam ini.
Katanya, Coach Haizan amat dikenali dalam kalangan masyarakat daerah ini dan pernah memenangi Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam pada 2002 dan 2016 ketika bertugas sebagai pembantu sukan.
“Beliau juga pernah mewakili Johor, termasuk untuk Piala Presiden Johor, Piala Razak Johor dan Piala Emas Raja Johor,” katanya.
Yang turut hadir ialah Ketua Bersatu Selangor dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal; dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.
PRK itu diadakan susulan penyandangnya, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia pada 2 Ogos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September ini, manakala hari pengundian pula 28 September.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, menang kalah bukan matlamat tetapi yang penting ialah sama-sama berjuang menentukan masa depan rakyat akan terbella.
Hamzah berkata, walaupun PN belum pernah memenangi kerusi DUN Mahkota, mereka tetap menurunkan calon pada PRK kali ini untuk memperjuangkan pelbagai isu yang dihadapi rakyat kini.
Beliau berkata, antaranya ialah isu kos sara hidup, 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) serta pensijilan halal yang dipercayai berkait kenyataan pemimpin DAP, baru-baru ini.
“Kita akan berjuang menentang kezaliman. Kita tidak mahu rakyat tinggal dalam keadaan terhimpit dengan masalah kos sara hidup.
“Baru-baru ini, isu pensijilan halal pula. Bab halal ini sudah diterima rakyat Malaysia dari dulu, kini dan selama-lamanya insya-Allah. Halal ini sudah digunakan di Malaysia dan juga seluruh dunia… ini agenda yang kita bawa sejak dulu,” katanya.
Nnnn
