SEPANG 9 Sept. – “Sila ajar pemimpin senior kamu untuk beradab,” Itu peringatan Ketua Pemuda UMNO , Dr Muhammad Akmal Saleh kepada rakan sejawatannya dari DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berhubung isu pensijilan halal.
Beliau memberi reaksi itu sebagai menjawab dakwaan Yii yang menyifatkan Akmal mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dan misoginis (kebencian terhadap wanita) dan biadab serta tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin belia.
Yii menyelar Muhammad Akmal yang mahu menampal logo tidak halal pada dahi Teresa Kok susulan kenyataan Naib Pengerusi DAP itu berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.
Muhammad Akmal melalui Facebooknya meminta Yii menyemak semula siapa yang memulakan isu ini.
“Kalau tak mahu kami disini biadap, jangan celupar, jangan mencabar! Kami boleh bersahabat dan berkawan dengan sesiapa sahaja, malah akan membalas dengan berlipat ganda kebaikan dengan orang yang berbudi pekerti.
Tapi kalau kamu tiada pekerti dan hilang susila, mari kami tunjuk cara biadap dan kurang ajar yang sebenar? Malulah anak jantan kalau orang menjual kita tidak membeli,” katanya.
Semalam, menerusi satu hantaran video di Tik Tok, Akmal yang melabelkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’, berkata Kok tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” kata Akmal.
Terdahulu Yii dalam kenyataannya berkata, walaupun Kok membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, pemimpin UMNO itu boleh menentangnya dengan fakta dan hujah, bukan panggilan nama.
“Perbuatan sebegini wajar ditegur dan dikutuk kerana ia menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang lain terutamanya kepada belia negara kita tentang sikap seorang pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Yii mengingatkan Akmal bahawa Kok telah dipilih menjadi wakil rakyat sejak 1999, dan beliau adalah Ahli Parlimen enam penggal, iaitu kira-kira 25 tahun sejak 1999.
“Apa yang YB Teresa lakukan adalah untuk membangkitkan kebimbangan yang sah oleh orang yang diwakilinya dan walaupun seseorang itu tidak bersetuju dengan perkara yang dia sampaikan, seseorang sentiasa boleh menentangnya dengan fakta dan hujah dan bukan panggilan nama.
“Perkara penting ini akan dibincangkan secara menyeluruh oleh pemimpin kita dalam Kabinet, dan tidak seharusnya dijadikan polemik dan dipolitikkan.
Kita boleh mempunyai perspektif dan pandangan yang berbeza tentang dasar – bahas dan bincangkannya secara matang. Tidak perlu memanggil nama, merendah-rendahkan martabat seseorang yang lebih berusia dan tidak menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Yii seterusnya mencadangkan supaya mengamalkan politik matang dan konstruktif sebagai teladan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda.
Nnnn
