500,000 tunjuk perasaan di Israel

BAITULMAQDIS – Dianggarkan 500,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan besar-besaran, semalam, susulan penemuan enam mayat tebusan di Gaza.

Protes itu menzahirkan kekecewaan dan kemarahan rakyat terhadap kepemimpinan Israel kerana gagal mencapai perjanjian gencatan senjata untuk memastikan pembebasan tebusan warga mereka.

Media Israel menganggarkan hingga setengah juta penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Baitulmaqdis, Tel Aviv dan bandar lain dan menuntut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, meningkatkan usaha membawa pulang baki 101 tebusan.

Malah, pemimpin-pemimpin buruh turut menggesa golongan pekerja untuk mengadakan mogok umum sehari, hari ini.

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan penemuan enam mayat tebusan dalam sebuah terowong di bandar Rafah, ketika kempen vaksinasi polio bermula di Gaza dan keganasan terus meningkat di Tebing Barat yang diduduki susulan serangan berskala besar oleh pasukan rejim Zionis.

Jurucakap tentera, Rear Admiral Daniel Hagari, dilaporkan berkata mayat tebusan dikenal pasti sebagai Carmel Gat, Hersh Goldberg-Polin, Eden Yerushalmi, Alexander Lobanov, Almog Sarusi dan Ori Danino, telah dibawa pulang ke Israel.

Demonstrasi di Baitulmaqdis menyaksikan penunjuk perasaan melakukan sekatan di jalan raya dan mengadakan bantahan di luar kediaman Netanyahu manakala lebuh raya utama di Tel Aviv dibanjiri penunjuk perasaan yang membawa bendera dan gambar tebusan.

Netanyahu kini berdepan tekanan desakan semakin kuat supaya menamatkan peperangan yang berlarutan hampir 11 bulan itu, dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan baki tebusan.

Bagaimanapun, Netanyahu berkata, Israel tidak akan berhenti sehinggalah dapat menangkap mereka yang bertanggungjawab atas kematian tebusan terbabit.

Sementara pegawai kanan kumpulan pejuang Hamas pula menegaskan Israel yang harus dipersalahkan atas kematian itu berikutan enggan menandatangani perjanjian gencatan senjata.

Related posts

Leave a Comment