Malaysia mohon tambahan kuota haji

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Permohonan menambah kuota bagi jemaah haji Malaysia turut dibincangkan sempena lawatan rasmi Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfiq  Fawzan Muhammed AI-Rabiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbincangan juga berkaitan usaha meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan di Tanah Suci terutamanya di Masya’ir.

“Usaha ini pastinya dapat membantu pengurusan pihak Lembaga Tabung Haji yang kini telah mula melaksanakan persediaan awal bagi musim haji 1446H,” katanya dalam satu kenyataan berhubung lawatan itu.

Beliau menyifatkan lawatan kedua Tawfiq Fawzan selepas kali pertama tahun lalu merupakan simbolik kepada hubungan akrab Malaysia dan Arab Saudi selain akan memperkukuhkan hubungan diplomatik terutamanya pengurusan haji dan umrah

“Mewakili Kerajaan Malaysia, saya amat mengalu-alukan kehadiran Dr. Tawfiq al-Rabiah ke Malaysia yang merupakan kunjungan rasmi kali kedua dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Sempena lawatan itu, satu mesyuarat bersama diadakan di Kompleks Islam Putrajaya semalam yang turut disertai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Selain itu, Dr. Tawfiq Al-Rabiah bersama delegasi Kerajaan Arab Saudi dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (BUMITRA) turut menganjurkan bengkel khusus bagi membicarakan langkah-langkah strategik untuk menarik minat lebih ramai jemaah umrah dari Malaysia dan meluaskan industri pelancongan di Arab Saudi.

Sementara itu pada sidang media petang ini, Mohd Na’im berkata, selain mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi yang sedia erat terjalin, lawatan itu juga akan memberikan manfaat kepada umat Islam khususnya dalam pengurusan haji dan umrah.

Katanya, Malaysia juga menyokong langkah ketat yang dibuat oleh Arab Saudi termasuk mengenakan penalti terhadap mereka yang melanggar peraturan.

“Ia untuk memastikan keselamatan jemaah dan menunaikan haji dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment