Kedah kecewa agenda politik sektor pendidikan

ALOR SETAR 26 Ogos – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pendidikan (KPM), Menteri Pendidikan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang didakwa melaksanakan agenda politik kepartian.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor ketika menyuarakan kekecewaan itu mendakwa tindakan itu dianggap menyalahgunakan kuasa untuk agenda politik kepartian dan campur tangan sedemikian hanya merugikan pelajar.

Katanya , ini bukanlah masa untuk bermain politik dalam pendidikan, terutama sekali ketika Kedah sedang berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di negeri itu.

Berucap pada sesi ucapan penangguhan sidang DUN di Wisma Darul Aman di sini, hari ini, beliau mendakwa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah tidak dibenar bekerjasama bersama kepemimpinan kerajaan negeri bagi melaksanakan program di sekolah.

Katanya, terdapat larangan dan arahan lisan supaya sekolah tidak berbuat demikian, selain mendakwa individu tertentu dalam JPN aktivis parti politik Kerajaan Perpaduan menggunakan kedudukan untuk agenda politik.

Sanusi menegaskan p, sebagai pemimpin, pihaknya tidak pernah terdetik untuk berpolitik dalam sektor pendidikan kerana bidang itu perlu bebas daripada elemen dan propaganda politik kepartian.

“Saya pernah dijemput alumni sekolah untuk kutip derma bantu sekolah, tetapi arahan keluar supaya semua guru dan kakitangan tak boleh hadir kerana ada Sanusi, sikap itu tak betul dan ia merugikan.

Sikap seperti itu tak boleh dibuat di negeri ini, Kedah tak benarkan buat propaganda politik guna jabatan, saya harap rakaman ini didengar di seluruh negara, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perlu ambil perhatian.

“Kita memegang amanah orang ramai dan perlu kembalikan amanah itu kepada mereka, bukan kaut sebanyak mungkin keuntungan daripada sikap menindas dan berlaku tidak adil,” katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Mohd Azam Abd Samat ketika menjawab soalan di DUN itu memaklumkan, Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama JPN yang tidak membenarkan guru menyertainya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sangat berharap KPM bersifat lebih terbuka dan tidak melakukan kesilapan dengan mengamalkan dasar seperti itu kerana ia merugikan pelajar.

Katanya, KOMPas mendapat peruntukan kerajaan negeri RM100,000 setahun sejak 2021 untuk membolehkan kajian dan langkah mengatasi pelajar yang mungkin tercicir daripada sistem pendidikan sekolah dilaksanakan.

“Kita bagi kepada orang yang tepat buat kajian dan kemukakan kajian itu untuk mengatasi masalah keciciran kerana kita nak menuju ke pelan ‘The Greater Kedah’.

“Kita harap sikap demokrasi dan terbuka ini disambut pihak sebelah sana dengan sikap sama. Jadi, saya harap pembentangan KOMPas oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan guru dan sekolah ini dibenarkan KPM,” katanya.

Sanusi juga menyeru semua pihak tanpa mengira perbezaan politik termasuk KPM bersikap profesional, terbuka dan mengutamakan kepentingan pelajar serta pembangunan negeri demi kebaikan bersama.

“Pendidikan adalah asas kepada masa depan negeri ini, dan kita tidak boleh membiarkan ia dipolitikkan,” tambahnya sambil menggesa Perdana Menteri mengambil serius isu terbabit.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment