KUALA LUMPUR 21 Ogos – Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan mengingatkan, politik nista dan toksik jika tidak dibendung akan menyemarakkan api perkauman dan kebencian, yang kemuncaknya ialah keganasan.
Katanya, negara sedang menyaksikan kemunculan politik toksik, pada skala sangat luar biasa, di mana ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.
“Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran, dan anti segala-galanya. Ia tidak akan menguntungkan sesiapa.
Ia akan menambah perpecahan dalam kalangan orang Melayu, akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat. Ia sebenarnya, sudah memundurkan standard dan etika politik bangsa Melayu, ke tahap paling rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan sayap UMNO – Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.
Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bendahari Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Azalina Othman Said! Ketua Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.
“Telah muncul apa yang saya panggil ‘politik toksik dan batil’, pada skala yang luar biasa. Ia telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik,” katanya.
Justeru katanya, UMNO mesti kembali menjadi ‘ketumbukan politik yang rasional’, menjadi armada, yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.
“Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal. Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah,” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Luar memberi contoh mengenai politik toksik yang merebak di luar negara sehingga mencetuskan keganasan dalam kalangan masyarakat.
“Lihat sahaja rusuhan dan kebencian, yang sedang meluap-luap ke atas orang Islam dan komuniti migran, di bandar-bandar besar di England dan Ireland Utara, baru-baru ini.
Semuanya bermula dengan pemikiran toksik dan fitnah, kononnya suspek kepada kes pembunuhan sekumpulan kanak-kanak di Southport, adalah orang Islam dari komuniti migran.
“Lalu kebencian merebak. Prejudis menyala-nyala. Keganasan, vandalisme serta serangan ke atas masjid dan premis perniagaan orang Islam berleluasa,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk membahas dan meneroka, jalan bagaimana harus menangani gejala politik toksik ini.
“Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya. Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, usulkan. Jika ada teknologi yang boleh diguna pakai, kita manfaatkan,” katanya.
(Foto UMNO online)
