280 anggota bantuan kemanusiaan maut

NEW YORK: Sebanyak 280 orang pekerja bantuan kemanusiaan terbunuh di seluruh dunia tahun lalu yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tahap keganasan tidak boleh diterima.

PBB juga memberi amaran perang Israel-Palestin di Gaza berpotensi mencetuskan angka kematian lebih tinggi tahun ini akibat tindakan yang kini menjadi perkara biasa terhadap pekerja bantuan kemanusiaan.

Pemangku Pengarah Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB, Joyce Msuya berkata, normalisasi keganasan terhadap pekerja bantuan dan kekurangan akauntabiliti tidak boleh diterima.

Dalam satu kenyataan pada Hari Kemanusiaan Sedunia, beliau berkata keganasan itu tidak wajar dan amat berbahaya untuk operasi bantuan di mana-mana.

Dengan 280 pekerja bantuan terbunuh di 33 negara tahun lalu, 2023 menandakan tahun paling maut dalam rekod bagi komuniti kemanusiaan global, peningkatan 137 peratus berbanding 2022 yang merekodkan 118 orang maut.

PBB berkata 163 daripada mereka yang terbunuh pada 2023 adalah pekerja bantuan yang terbunuh di Gaza dalam tempoh tiga bulan pertama perang terutamanya dalam serangan udara.

Persengketaan awam di Sudan Selatan dan perang antara dua jeneral di Sudan yang bertelagah sejak April 2023 melibatkan masing-masing 34 dan 25 kematian.

Anggota bantuan kemanusiaan lain yang terbunuh ialah di Israel dan Syria, masing-masing tujuh; Ethiopia dan Ukraine masing-masing enam; Somalia lima; dan empat masing-masing di Myanmar dan Republik Demokratik Congo.

Dalam semua konflik, kebanyakan kematian membabitkan pekerja tempatan.

Related posts

Leave a Comment