PUTRAJAYA 12 Ogos – Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuhkannya dan penyelamat UMNO.
Dr Mahathir menegaskan peletakan jawatannya hingga membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) empat tahun lalu tidak ada kaitan dengan Presiden UMNO itu..
“Zahid bukan hero. Ia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO, iaitu DAP, supaya jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya dari dibicara berkenaan kesalahannya,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.
Kelmarin Ahmad Zahid secara terbuka mengakui beliau adalah dalang utama yang terbabit menggulingkan Dr Mahathir dalam usaha menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Menurut Ahmad Zahid tindakan luar biasa itu penting untuk menentang Dr Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran UMNO.
Dakwanya, perkara itu turut disahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa kertas untuk mengharamkan UMNO sudah ada di atas meja Menteri Dalam Negeri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid sendiri datang berkunjung ke pejabatnya tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 yang menumbangkan UMNO.
Katanya, ketika itu Ahmad Zahid baru menjadi Presiden UMNO dan ingin tahu apa akan jadi kepada UMNO setelah kalah.
“Bagi saya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan UMNO iaitu berjuang untuk bangsa, Negara dan agama. Parti yang mengguna nama UMNO berjuang untuk wang (Cash is King).
Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal UMNO, hak untuk dikenali sebagai parti UMNO sudah hilang. Oleh itu adalah lebih baik bagi nama UMNO tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama UMNO.
Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna nama UMNO,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir, yang pernah mengemudi UMNO selama lebih dua dekad berkata,
beliau tidak boleh dijatuh oleh Zahid atau UMNO dan parti yang kalah tidak berhak menjatuhkan parti yang menang.
“Selepas berjumpa, Zahid kali kedua, beliau cuba jelaskan yang dia tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang disebar umum. Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau. Bukti yang cuba ditunjuk kepada saya sepatutnya ditunjuk kepada hakim mahkamah,” katanya.
Dr Mahathir menegaskan peletakan jawatannya (membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan empat tahun lalu) tidak ada kaitan dengan Ahmad Zahid.
“Sebab saya letak jawatan ialah apabila parti saya, Bersatu, menolak nasihat saya. Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya, dia secara terhormat sepatutnya letak jawatan. Dan itulah yang saya lakukan, “ kata Dr Mahathir.
Nnnn
