Satu lawan satu PRK DUN Nenggiri

GUA MUSANG 3 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Mohd Rizwadi Ismail mewakili Pas.

Mohd Azmawi Fikri, 38 adalah Ketua Pemuda UMNO Kelantan manakala  Mohd Rizwadi, 41 bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang.

Mereka diumumkan layak bertanding pada 17 Ogos ini oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, selepas proses penamaan calon selesai 10 pagi ini di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini.

Nik Raisnan mengumumkan pihaknya menerima pencalonan calon Pas, Mohd Rizwadi  pukul  9.02 pagi disusuli calon BN, Mohd Azmawi pukul 9.08 pagi.

Nik Raisnan berkata, tiada kertas penamaan calon yang ditolak oleh pihaknya.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 16 Ogos ini.

Menurut SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak); Parlimen Kemaman (Terengganu), DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).

Related posts

Leave a Comment