BEIRUT: Susulan pembunuhan komander tertingginya, Fuad Shukr, Hizbullah melancarkan puluhan roketnya ke utara Israel pada Khamis sebagai tindak balas kepada serangan maut Israel di selatan Lubnan.
Ia adalah serangan pertama kumpulan itu selepas Israel membunuh komander tertingginya petang Selasa minggu ini.
Dalam satu kenyataan, kumpulan yang disokong Iran itu memaklumkan mereka melancarkan puluhan roket Katyusha, sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas kampung selatan Shama yang membunuh sejumlah orang awam.
Tentera Israel pula berkata, sejurus selepas tembakan roket itu, tentera udaranya menyerang pelancar roket Hizbullah, lokasi di mana senjata itu dilancarkan.
Awal Khamis, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata empat rakyat Syria terbunuh dalam serangan Israel di selatan, di mana Hizbullah dan Israel berbalas tembakan hampir setiap hari sejak perang Gaza bermula pada Oktober.
Kementerian itu berkata, jumlah kematian mungkin meningkat sebaik ujian DNA dijalankan, selain serangan turut mencederakan lima warga Lubnan.
Pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, memberi amaran bahawa kumpulannya pasti akan bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr.
Kematian Shukr disusuli beberapa jam kemudian pada Rabu, dengan pembunuhan ketua sekutu Hizbullah, Hamas, Ismail Haniyeh, dalam serangan di Tehran, yang mana mereka turut menyalahkan Israel.
Sejak Oktober lalu, sekurang-kurangnya 542 orang terbunuh di pihak Lubnan, kebanyakannya pejuang termasuk juga 114 orang awam manakala sekurang-kurangnya 22 tentera dan 25 orang awam terbunuh di pihak Israel, termasuk di Dataran Tinggi Golan.
(keratan akhbar HM)