ADUN Mahkota meninggal dunia

KLUANG 2 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada pukul 12.25 tengah hari ini di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.

Perkhabaran duka itu disahkan Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, menerusi Facebook.

“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka mengenai pemergian‎ ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ummi’, amat dirasai kerana beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota, tidak akan dilupakan.

Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah, dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di pekarangan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi untuk menziarahi Sharifah Azizah.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Sharifah Azizah berada dalam keadaan agak kritikal dan sudah berhenti diberikan ubat tidur sejak pagi tadi.

Rabu lalu, media melaporkan Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalaman.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.

Nnn

Related posts

Leave a Comment