WASHINGTON: Microsoft Corp sedang menyiasat gangguan pada beberapa aplikasi Office dan perkhidmatan Cloud yang berlaku di seluruh dunia.
Syarikat itu dalam kemas kini di laman web untuk memantau kebolehcapaian perkhidmatan Cloud Azure berkata, isu ini juga menjejaskan beberapa perkhidmatan dan ciri Microsoft 365.
Microsoft 365 merangkumi aplikasi produktiviti biasa seperti Outlook, Word, dan Excel.
Syarikat itu berkata, pengguna mungkin tidak dapat mengakses aplikasi itu atau mengalami gangguan atau prestasi yang teruk
Laporan gangguan pada Azure dan Microsoft 365 mula meningkat sejurus selepas pukul 7 pagi waktu New York dan aduan meningkat sehingga pukul 9.40 pagi, menurut laporan pengguna yang dikumpulkan oleh Downdetector.
Awal bulan ini, kira-kira 8 juta komputer yang menggunakan sistem operasi Windows mengalami kerosakan selepas firma keselamatan siber CrowdStrike Holdings Inc mengeluarkan kemas kini perisian yang cacat.
Selain itu, Microsoft juga sedang menangani kesan daripada siri serangan siber yang mendorong kerajaan AS mengeluarkan amaran tegas yang menggesa perubahan di seluruh syarikat.
