KOTA TINGGI 25 Julai – “Surat itu pun surat palsu, bermakna surat layang. Tidak ada kebenaran pun,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN mengalu-alukan semua pihak yang boleh membantu memenangkan calon mewakili parti itu di Nenggiri, terutama dalam kempen PRK terbabit.
Beliau mengulas satu kenyataan yang tersebar kononnya BN menghalang empat individu tampil di pentas ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, tidak lebih sekadar surat layang.
Ahmad Zahid ditemui selepas Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Desaru, di sini, hari ini.
Terdahulu, BN dilapor menafikan kenyataan kononnya menghalang empat individu termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli daripada tampil di pentas ceramah pada PRK DUN Nenggiri.
Dalam satu kenyataan hari ini, BN memaklumkan petikan seperti itu adalah mainan politik untuk memecah belah perpaduan dalam kerajaan sekarang.
Ditanya sama ada pengumuman awal calon BN pada PRK Nenggiri memberi kelebihan kepada parti, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ia membolehkan calon mula turun ke akar umbi bagi menyantuni pengundi di kawasan itu.
Katanya, terdapat 20 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Nenggiri dengan parti sudah mengkoordinasi pergerakan calon untuk pergi ke semua PDM berkenaan.
“Terdapat lima PDM Orang Asli dan untuk sampai kelima-limanya agak sukar. Namun kita sudah mulakan kerja awal, maka ia akan memudahkan dalam tempoh kempen supaya jentera dapat pergi ke tempat lain pula.
“Terdapat sembilan PDM membabitkan kampung tradisional, lima PDM di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan satu PDM di bawah FELDA, semuanya sudah diambil kira dan telah dilakukan penyelarasan jentera.
“Pengarah PRK DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang juga telah berbincang dengan saya mengenai pendekatan dan kaedah berkesan untuk kempen di kawasan berkenaan,” katanya.
