Biden ikrar kekal bersaing

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berikrar untuk kekal bersaing pada pemilihan presiden walaupun terdapat peningkatan tentangan dalam parti Demokrat sehingga menimbulkan spekulasi beliau akan berundur minggu ini.

Dalam satu kenyataan dari Delaware di mana beliau menjalani kuarantin kerana jangkitan Covid-19, Biden berkata: “Pertaruhannya tinggi dan pilihannya jelas. Bersama-sama, kita akan menang,”.

Beliau juga tidak sabar untuk kembali berkempen minggu depan ketika doktor menyatakan bahawa beliau sudah pulih daripada penyakit itu.

Bagaimanapun, prestasi politik Biden kelihatan jauh lebih teruk dengan 10 lagi Demokrat di Dewan Perwakilan dan dua senator menyertai senarai penggubal undang-undang yang secara terbuka menggesa beliau menarik diri daripada bertanding dengan Donald Trump pada pilihan raya November depan.

Prestasi buruk Biden ketika debat dengan Trump tiga minggu lalu mencetuskan panik berkaitan usia dan kesihatan Biden.

Lebih 30 ahli Demokrat di Dewan Perwakilan dan empat senator kini meminta beliau untuk menarik diri.

Seorang penderma utama iaitu pelabur Lembah Silikon, Michael Moritz, turut menyertai penyokong lain seperti pelakon George Clooney yang mahu Biden memberi laluan kepada calon lain.

Kempen Biden bagaimanapun menolak laporan bahawa beliau akan berputus asa dengan mengatakan beliau masih calon terbaik walaupun mengakui terdapat pengurangan dalam sokongan.

Biden menewaskan Trump pada 2020, menjadi presiden tertua dalam sejarah AS.

Beberapa siri tinjauan menunjukkan beliau kini di belakang Trump dalam perlumbaan 2024 walaupun saingannya itu adalah individu yang disabitkan kesalahan, manakala beberapa tinjauan menunjukkan Naib Presiden Kamala Harris lebih berdaya saing.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment