PUTRAJAYA 12 Julai – Malaysia adalah negara subsidi yang bukan sahaja untuk rakyat sendiri sebaliknya kepada Singapura dengan menjual air mentah 250 juta gelen sehari pada kadar hanya 3 sen (SG$ 1 sen) bagi setiap 1,000 gelen sejak 1962.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, sejak 61 tahun lalu iaitu dari tahun 1962 hingga 2023, kerajaan Malaysia memberi ‘subsidi’ kepada negara seberang tambak itu berjumlah RM2.379 bilion (RM2,379,000,000)
Justeru, beliau secara sinis menasihatkan agar kerajaan terus membantu Singapura dengan menjual air berharga 3 sen sehingga kiamat.
“Malaysia adalah negara subsidi. Kita bukan sahaja beri subsidi kepada rakyat sendiri tetapi juga kepada negara asing. Sehingga kini kita masih jual air mentah dengan harga 3 sen (bagi) 1,000 gelen.
“Perkiraan menunjukkan yang Singapura dapat subsidi sebanyak RM39 juta setahun dari Malaysia (Johor) berbanding jika (jualan air) berharga 45 sen untuk 1,000 gelen sehari sejak dari permulaan penjualan 250 juta gelen sehari.
“Yang rugi ialah negeri Johor kerana air disedut dari sungai Johor. Nasihat saya jual air mentah Johor pada harga 3 sen 1,000 gelen sehingga kiamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Singapura sebelum ini bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen hingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan hingga 100 tahun selepas itu.
Bagaimanapun, republik itu kemudiannya menolak apabila Kerajaan Malaysia dilaporkan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 hingga 2011.
Ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir pernah membangkitkan isu berkenaan pada pertengahan 2019 dan menyatakan bahawa harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah serta bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.
Perjanjian berkenaan yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Nn