KOTA KINABALU 28 Feb. – Seramai 95,982 atau 16.72 peratus pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah dan Labuan terkesan berikutan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Mac.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata jumlah itu mewakili pengguna yang menggunakan tenaga elektrik lebih 600 kilowatt perjam (kWh) atau bil bulanan lebih RM203.
“Pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar SST turut membabitkan pengguna di SESB tetapi bukan semua pengguna menerima kesan daripada kenaikan itu.
“Hanya pengguna yang penggunaan elektrik mereka mencapai 600 kWh ke atas atau bil bulanan berjumlah RM203 ke atas saja akan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kesan pelaksanaan SST lapan peratus kepada pengguna SESB mulai 1 Mac 2024 selepas dinaikkan daripada enam peratus sebelum ini.
Kenaikan cukai SST kepada lapan peratus itu diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.
Mohd Yaakob berkata, SESB sentiasa memantau dan bersedia membantu untuk memberi kefahaman kepada pengguna sekiranya berlaku sebarang kerumitan ketika peralihan kadar baharu itu.
