Tiada kerjasama selagi Hadi pimpin Pas

KUALA KANGSAR 8 Julai – UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Abdul Hadi Awang memimpin parti itu, kata Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Abdul Hadi tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

“Saya pernah berbincang empat mata dengan Abdul Hadi. Hari ini depan-depan setuju. Namun, keesokannya dia tukar. Setuju-setuju kemudian di belakang dia tukar kembali. Pas ini berbohong dari dahulu sampai sekarang.

Selagi orang itu jadi Presiden, jangan harap kita bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam itu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman; Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Timbalan Pengerusi UMNO Perak,  Azian Osman.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya menerima hakikat kaedah terbaik bagi memastikan UMNO terus bertahan ialah bekerjasama dalam politik.

“Kita kena terima hakikat bahawa kaedah terbaik adalah bekerjasama kerana dalam politik tiada musuh yang kekal dan juga tiada kawan yang kekal. Hari ini mungkin kawan, esok lawan dan hari ini lawan, namun mungkin esok kawan,” katanya.

Beliau turut mengulangi kenyataan sebelum ini,  bahawa rakan-rakan dari parti Pakatan Harapan (PH) ikhlas bekerjasama sama ada di dalam kerajaan mahupun gerak kerja politik.

Menurutnya, ia dapat dilihat menerusi kerjasama dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK).

Malah katanya, ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak, biarpun Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi PH mahu Menteri Besar dipilih dalam kalangan pemimpin BN.

Begitu juga situasi yang berlaku di Pahang apabila PH turut sedia menerima Menteri Besar daripada BN.

Nnn

Related posts

Leave a Comment