Zahid beri jaminan UMNO bertanding di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR 8 Julai – Jika semalam Amanah menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK), UMNO juga mahu meletak calonnya sama ada pada PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Malahan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, seperti pilihan raya sebelum ini, UMNO akan mempertahankan kerusi berkenaan dan ahli serta pemimpin UMNO di Kuala Kangsar tidak perlu risau mengenainya

“Kalau ada PRK pun memang saya hendak bagi UMNO bertanding. Bekerjasamalah yang di atas pentas dan di bawah pentas. Saya tahu, saya ingatkan diri saya jangan ingat kita boleh duduk atas pentas ini kalau tidak ada sokongan yang bawah.

“Yang atas kena menyantuni yang di bawah, yang bawah kena menghormati yang di atas. Kukuhkan parti sekarang ini, jangan berbeza pendapat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Pengerusi UMNO Perak,  Azian Osman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar,  Maslin Sham Razman.

Semalam, Naib Presiden Amanah, Adly Zahari menyatakan hasrat untuk meletakkan calon jika berlaku PRK Parlimen Kuala Kangsar, berdasarkan rekod lalu, parti tersebut bertanding di kerusi berkenaan.

Pada PRU15,  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bersatu) menang di Parlimen Kuala Kangsar dengan 14,380 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Maslin Sham (10,814 undi), calon PH, Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa calon yang bertanding di Parlimen Kuala Kangsar serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU akan datang diberi keutamaan kepada anak tempatan.

Menurutnya, calon-calon yang akan dipilih mesti memastikan kawasan yang tewas pada PRU sebelumnya kembali dirampas.

“Di Kuala Kangsar ini dahulu Ahli-ahli Parlimennya orang luar Kuala Kangsar seperti Rafidah Aziz dan saya tak nak sebut siapa-siapa selepas itu. Kalau kali ini anak Kuala Kangsar, orang UMNO tak menang juga aku humban kamu (berseloroh).

“Oleh itu janji dengan saya kalau saya letak orang UMNO, calon itu wajib menang dalam Pilihan Raya Parlimen dan DUN,” ujarnya.

Beliau turut meminta semua pemimpin dan ahli bersatu serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi bersama PH pada PRU16 akan dibawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN bagi mengelak sebarang pertindihan.

Katanya, menjadi amalan parti-parti politik akan membuat persiapan lebih awal termasuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi nanti supaya tidak berlaku pertembungan di antara parti-parti Kerajaan Perpaduan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment