Tiga kluster baharu

TIGA lagi kluster baharu, dua di Kedah iaitu Kluster Bah Lunas dan Kluster Bah Rose, manakala satu di Selangor dikenali Kluster Jelok.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Lunas dikesan di Kulim dengan kes indeks (kes ke-11,471) mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko di Sabah.

“Lelaki berusia 35 tahun itu dikesan positif pada 30 September  lepas dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi positif Covid-19 bagi Kluster Bah Lunas .  

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Memperincikan kluster yang puncanya masih di dalam siasatan, beliau berkata 112 individu telah disaring dengan empat kes dikesan positif, 21 negatif manakala 87 masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Rose pula dikesan di Kuala Muda, dengan kes indeks (kes ke-11212) dikesan positif pada 29 September, selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan tujuh lagi kes positif bagi Kluster Bah Rose dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” katanya.

Sehingga hari ini 477 individu dengan 81 di Kedah disaring (tujuh dikesan positif, 69 negatif dan lima masih menunggu keputusan) manakala 396 yang disaring di Pulau Pinang (satu positif, 71 negatif dan 324 masih menunggu keputusan). 

Mengenai Kluster Jelok, Dr Noor Hisham berkata kes indeks (kes ke-11788) dikesan melalui saringan individu bergejala iaitu lelaki warganegara Malaysia berusia 27 tahun pada 1 Oktober lepas di Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif bagi Kluster Jelok dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan dengan lapan individu disaring sehingga hari ini, dan mengesan empat kes positif dan empat negatif.

Dr Noor Hisham berkata didapati trend jumlah dan pecahan kes baharu positif Covid-19 pada hari ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, di mana masih berlaku peningkatan kes di Kluster Tembok, Kedah yang mencatat 97 kes dan di Sabah yang mencatat 155 kes, dan bakinya 65 kes di beberapa negeri lain.

Related posts

Leave a Comment