Solidariti Bersama Selangor FC kumpul RM76,490

SHAH ALAM 3 Julai – Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang bermula 26 Jun 2024 sehingga semalam (2 Julai) ditutup dengan sumbangan terkumpul sebanyak RM76,490.06, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari

Beliau berkata, keseluruhan jumlah sumbangan itu akan diserahkan kepada Selangor FC bagi membantu pasukan tersebut memperjuangkan keadilan hingga ke peringkat tertinggi.

Katanya, inisiatif ini memberi ruang kepada rakyat Malaysia dan para peminat bola sepak negara merentasi batas kenegerian menzahir solidariti kepada Selangor FC.

“Berdasarkan sambutan yang diterima terhadap sumbangan solidariti Bersama Selangor FC, kita dapat melihat bagaimana sokongan kuat dari seluruh rakyat Malaysia yang turut tidak bersetuju dengan beberapa keputusan walaupun keputusan itu ditarik balik atau diubah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Secara keseluruhannya, inisiatif ini berjaya mengumpul sebanyak RM76,490.06 dan hasil daripada sumbangan ini akan disumbang kepada pihak Selangor FC,” katanya pada sidang media majlis penyerahan kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC di pejabatnya .

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Mohd Najwan Halimi merangkap sebagai Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Selain orang awam, sumbangan juga diterima daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), KDEB Waste Management dan badan-badan korporat.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan dihadapi Selangor FC.

Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mengenakan hukuman terhadap Selangor FC susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad Gergasi Merah itu didenda RM100,000; pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025; perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.

Bagaimanapun sehari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan baginda, Ahli Lembaga Pengarah MFL mengurangkan hukuman dengan membatalkan dua tindakan yang dikenakan terhadap Selangor FC.

Antara pertimbangan semula yang dibuat adalah denda dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000, selain, pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment